BEREGU lelaki negara dianggap sudah memasuki era terbaik selepas dua gandingan kebangsaan berjaya melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil kelmarin.
Pada pertemuan itu, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengejutkan gandingan senior yang juga bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerusi kemenangan tiga set 21-12, 15-21, 21-16 dalam tempoh 50 minit.
Lebih manis, kemenangan itu membolehkan mereka menamatkan penantian selama 12 tahun untuk menyaksikan Malaysia kembali memenangi aksi Jelajah Dunia Super 500 itu dalam acara beregu lelaki selepas kali terakhir dilakukan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2013.
Pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky berkata, pencapaian itu boleh dianggap sebagai petanda arena badminton negara berada pada landasan terbaik, terutamanya dalam acara beregu lelaki.
“Kalau kita lihat, mungkin boleh katakan begitu (era terbaik) kerana sekarang ada Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun, Aaron Tai-Kang Khai Xing serta beberapa lagi beregu muda yang lain.
“Apa yang kita harapkan adalah supaya pemain-pemain dapat melihat bahawa ini merupakan satu era di mana mereka perlu memanfaatkan peluang sebaiknya,” kata pengendali dari Indonesia itu.
Peningkatan yang dipamerkan beregu-beregu negara ketika ini turut mengingatkan Rexy era kegemilangan Malaysia dalam acara tersebut pada pertengahan 2000-an yang mana beliau ketika itu berperanan sebagai ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan.
“Pada waktu itu, kita memiliki beberapa pasangan terbaik yang konsisten berada dalam kelompok 15 teratas dunia. Sekarang bersama jurulatih Herry (Iman Pierngadi), kita sedang membina perkara yang hampir sama,” tambahnya.
Sementara itu, Herry yang terkenal dengan julukan Naga Api menganggap aksi final yang melibatkan pertemuan sesasa sendiri membuktikan program latihan dirangka berada pada landasan tepat.
“Berhubung dua beregu negara bertemu di pentas final, ia merupakan satu pencapaian besar. Mereka (Wei Chong-Kai Wun) juga menunjukkan peningkatan cukup ketara sejak prestasi agak menurun selepas memenangi Indonesia Masters Januari lalu,” ujarnya.