fbpx
WEI Chong (kanan) dan Kai Wun berdepan kejutan apabila tersingkir di pusingan pertama pada Kumamoto Masters. - AFP

Kumamoto Masters: Wei Chong-Kai Wun kandas awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencatat keputusan tidak seperti diharapkan pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun apabila tersingkir seawal pusingan pertama.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto sebentar tadi, gandingan No.5 dunia itu tewas menerusi keputusan straight set 19-21, 18-21 kepada wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.

Biarpun turun sebagai pilihan ketiga kejohanan, namun anak buah Herry Iman Pierngadi itu gagal untuk mempamerkan corak permainan sebenar sebelum akur dengan kekalahan dalam tempoh 35 minit.

Kekalahan itu meletakkan Wei Chong-Kai Wun dalam situasi belum pasti untuk melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada 17 hingga 21 Disember depan.

Pada ketika ini, Wei Chong-Kai Wun perlu berebut satu lagi slot dengan beregu profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah mengesahkan kemaraan lebih awal.

Justeru, mereka perlu menunggu keputusan perlawanan melibatkan Sze Fei-Izzuddin selain memiliki satu lagi peluang pada kejohanan Terbuka Australia di Sydney bermula 18 hingga 23 November ini.

Sementara itu, gandingan Arif Junaidi-Yap Roy King meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas membenam cabaran Chang Ko Chi-Po Li Wei dari Taiwan 21-19, 21-12. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN