fbpx
MUHAMMAD ARIF (tengah) bersama para pekerjanya yang membantu kerja-kerja reka bentuk dalaman.

Tindakan kakak punca ceburi reka bentuk dalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“APA yang saya lakukan ketika ini berbalik kepada tindakan kakak lebih sedekad lalu.

“Dia insan yang bantu isikan permohonan kemasukan pelajar menerusi platform UPUOnline dan dia jugalah yang memilih program reka bentuk dalaman untuk saya.”

Demikian mukadimah Muhammad Arif Abd Latif, 34, kepada K-Kampus tatkala memulakan bicara mengenai kerjaya yang diceburinya ketika ini.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, semuanya bermula daripada kakak kandungnya yang begitu meminati bidang reka bentuk dalaman.

Tertulis itulah rezeki, permohonan tersebut berjaya dan bermulalah kisah Muhammad Arif yang diterima sebagai pelajar jurusan Diploma Rekabentuk Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

“Saya pun ikutkan sahaja dan kalau ditanya, memang minat nak sambung belajar dalam bidang reka bentuk dalaman itu.

“Di universiti, saya mengikuti program tersebut dan macam-macam perkara baharu saya belajar mengenai reka bentuk dalaman secara terperinci,” katanya.

Berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma usai tiga tahun dan semakin ‘ghairah’ dengan bidang diambil, anak bongsu daripada lima beradik ini tidak tunggu lama dan terus mengambil ijazah pertamanya.

Jelas Muhammad Arif, dia berjaya menyambung pengajiannya dalam program Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman di UiTM Shah Alam, Selangor.

“Selepas tamat belajar dalam bidang yang penuh dengan kemahiran dan amali berbanding teori itu, saya memulakan kerjaya pertama di Ikea Kuala Lumpur sebagai pereka bentuk dalaman.

MUHAMMAD ARIF

“Ketika makan gaji sepanjang tiga tahun itu, pelbagai perkara diajar antaranya mereka hiasan dalaman, mengemas bilik pameran, melakukan kerja-kerja rekaan, merancang, mempersembahkan rekaan kepada pihak atasan dan banyak lagi,” katanya.

Hasil pendapatan diterima dan pengalaman kerja terdahulu, bapa kepada dua anak ini bangkit mencabar diri dengan membuka sebuah perniagaan sendiri.

Menerusi syarikat diberi nama AL Decodesign itu, dia mengaplikasi dan mencurahkan semula apa yang dipelajarinya ketika menuntut di kampus dan ketika bekerja.

“Alhamdulillah, kini syarikat yang saya tubuhkan sudah beroperasi lebih dari lapan tahun dan kami menawarkan pelbagai perkhidmatan reka bentuk dalaman.

“Tidak setakat rumah atau pejabat, kami juga menawarkan perkhidmatan reka bentuk dalaman kepada ruangan khusus seperti bilik tidur, bilik mesyuarat, surau, klinik dan sebagainya mengikut kehendak pelanggan termasuk pemasangan kabinet dapur.

“Bermula seorang diri dengan dibantu isteri, kini saya ada lebih 10 orang kakitangan dan banyak membantu melancarkan operasi syarikat yang berpangkalan di Dengkil, Selangor,” ujarnya.

Ditanya adakah berbaloi dengan kerja berunsur seni dan kemahiran yang dilakukannya ketika ini, Muhammad Arif mengakui perkara tersebut dan buktinya perniagaan diasaskannya semakin dikenali sekali gus menyumbang kepada sektor ekonomi serta tenaga mahir negara.

MUHAMMAD ARIF melakukan kerja-kerja pemasangan panel.

Berkongsi mengenai cabaran dalam kerjaya, dia memberitahu faktor persaingan dan harga barang kelengkapan yang semakin melambung menjadi antara kekangan ketika ini.

“Pun begitu, jika pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan meskipun ada sedikit kenaikan harga, mereka pasti tetap setia memilih kita kerana kepercayaan yang sudah terjalin.

“Jujur saya katakan untuk memastikan perniagaan kekal bertahan bukan satu perkara mudah. 

“Dari semasa ke semasa, syarikat akan pastikan ia kekal relevan dan mendapat permintaan selari dengan perkhidmatan bermutu, kreatif dan menarik yang ditawarkan oleh kami,” katanya.

Mengenai perancangan jangka panjang, Muhammad Arif berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan bergantung kepada permintaan dan keadaan ekonomi semasa.

“Pada masa sama, saya juga ada buka bisnes pusat penjagaan kenderaan dan khidmat cucian rumah serta pejabat yang semuanya memerlukan kemahiran tertentu untuk dilaksanakan.

“Bagi saya, tidak rugi kita mengambil kursus berkaitan kemahiran kerana keperluan kerja semasa memang memerlukan tenaga mahir,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN