PETALING JAYA – Pencapaian satu dekad sejak penubuhan Komuniti ASEAN memberi semangat dan keyakinan baharu buat rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pencapaian itu dicerminkan oleh daya tahan luar biasa meskipun dunia kini semakin kompleks dan penuh cabaran.
“Saya lontarkan perkara penting itu sewaktu berucap pada sesi Plenary sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula hari ini.
“Mengambil kira peralihan dalam susunan geopolitik dan sistem perdagangan global kini, saya maklumkan bahawa pemusatan ASEAN dan persaudaraan antara negara-negara anggota penting untuk terus bersatu menghadapi cabaran yang ada ini secara bersama,” katanya dalam kenyataan di laman X hari ini.
Menyentuh mengenai penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama, beliau memaklumkan, ia adalah cerminan kejayaan dalam membentuk semula corak kerjasama sejajar dengan realiti dunia multipolar hari ini.
“Hatta melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau yang pastinya akan memberi kesan positif kepada dunia.
“Saya turut nyatakan penghargaan Malaysia kepada dukungan semua pihak dalam memastikan Kepengerusian ASEAN kali ini dapat membawa kita ke arah pertumbuhan yang adil dan mampan serta daya tahan berterusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE