ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan sebanyak 222 projek di Johor dengan peruntukan berjumlah RM10.8 bilion yang diluluskan pada tahun 2016 masih belum dilaksana sehingga kini.
Menurut beliau, perkara itu merupakan satu kekesalan kerana majoriti projek terbabit melibatkan pelan projek pembangunan kepentingan rakyat seperti hospital dan sekolah.
“Sejak tahun 2016, menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11), ada banyak lagi projek belum dilaksanakan dan masih pada fasa pra-pelaksanaan sehingga kini.
“Ia melibatkan 222 projek pembangunan bernilai RM10.8 bilion yang telah diluluskan. Ini perkara serius kerana peruntukan sudah ada tetapi kerja-kerja belum lagi berjalan,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap turut memberitahu, semua exco kerajaan negeri akan diberi tugasan untuk ‘memanjat’ pejabat kementerian dan agensi-agensi terlibat berhubung perkara itu.
“Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan kita dan kebenaran telah diperoleh daripada beliau untuk memastikan projek-projek tertangguh ini dilaksanakan.
“Setiap exco akan ‘panjat’ pejabat kementerian, agensi terlibat untuk pastikan projek-projek ini dilaksanakan segera seperti yang telah diluluskan untuk kebajikan rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE