KUALA LUMPUR – Mesyuarat ASEAN-AIPA Leaders’ Interface ke-14 menyaksikan sokongan padu terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46, Tan Sri Datuk Johari Abdul berkata, AIPA turut menegaskan peranan penting Parlimen dalam menjayakan pembangunan serantau yang inklusif dan mampan.
“AIPA turut menyuarakan sokongan penuh terhadap tema Sidang Kemuncak kali ini iaitu Inklusiviti dan Kemampanan,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Mesyuarat yang disertai oleh Ketua-Ketua Negara ASEAN bersama wakil Parlimen negara anggota AIPA itu diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Johari berkata, AIPA turut menekankan keperluan memperkasa peranan wanita dan golongan muda melalui pelbagai platform bagi memastikan penyertaan seimbang dalam pembangunan dasar dan masa depan rantau ini.
Tambah beliau, AIPA turut membangkitkan tentang isu perubahan iklim, keselamatan makanan dan ketahanan tenaga dan menyeru kerjasama legislatif dipertingkatkan.
“AIPA turut menegaskan komitmen terhadap keamanan dan kedaulatan undang-undang, serta menyeru diplomasi berterusan dalam menangani isu Myanmar, Laut China Selatan, Gaza dan Ukraine,” katanya. – KOSMO! ONLINE