BENTONG – Kerajaan Pahang secara rasmi menyertai usaha strategik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam pengambilalihan FGV Holdings Berhad (FGV).
Penyertaan ini sekali gus menjadikan kerajaan negeri rakan kongsi utama dalam pelaksanaan penswastaan syarikat perladangan yang tersenarai di Bursa Saham Malaysia itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyertaan kerajaan negeri dalam kerangka ‘Persons Acting in Concert’ (PACs) mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap agenda pemerkasaan ekonomi peneroka dan pembangunan sosioekonomi luar bandar.
“Sokongan ini akan memperkukuh keyakinan peneroka Felda terhadap masa depan mereka. Ia juga berupaya merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui kestabilan operasi FGV yang menjadi pemacu penting sektor agro komoditi,”katanya pada majlis ramah mesra Felda bersama Menteri Besar Pahang di Genting Highlands di sini hari ini.
Menurutnya, langkah penyertaan itu menyaksikan Pahang bersama Felda sebagai PACs dalam menjayakan Voluntary Take Over Offer (VTO), bertujuan memperkukuh kedudukan Felda sebagai pemilik utama FGV dengan penguasaan sedia ada sebanyak 82 peratus.
Katanya, kerajaan negeri Pahang pula memiliki lima peratus saham dalam FGV, menjadikan gabungan ini satu kekuatan baharu yang signifikan dalam memacu transformasi syarikat dan mengukuhkan keupayaan strategik industri perladangan negara.
Bagaimanapun, ujarnya, bagi mencapai kawalan penuh ke atas FGV, Felda perlu mencapai 90 peratus pegangan, justeru baki tiga peratus memerlukan kerjasama kerajaan negeri Sabah serta beberapa institusi pelaburan perladangan lain.
Sementara itu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan keterlibatan kerajaan Pahang sebagai rakan strategik utama merupakan satu lonjakan besar dalam misi memulihkan kedudukan korporat FGV. – KOSMO! ONLINE