fbpx

‘Itu bukan nak terbelah, tapi kesan gam penyambung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rusli (gambar kecil) dan garisan lurus yang didakwa kononnya rekahan oleh beberapa penduduk di PPR Gombak Setia, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Tular di media sosial beberapa video dan gambar memaparkan keadaan bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia Blok 43, di sini yang didakwa telah retak dan menanti belah.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Timbalan Presiden Persatuan Penduduk, Rosli Sulaiman yang menyatakan garisan kelihatan seperti belahan itu adalah kesan gam penyambung yang dilakukan pihak kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lebih kurang tiga tahun lepas.

Katanya, sebelum ditampal gam tersebut, sememangnya ada regangan pada jambatan yang menghubungkan antara dua blok tersebut.

“Bangunan ni dah terbina lebih kurang 26 tahun. Semakin lama hujan panas memang akan ada regangan sebab bangunan dah lama.

“Disebabkan itu, pihak kontraktor telah pun menampal gam simen pada bahagian tersebut bagi menutup kembali lubang.

“Garisan lurus yang dilihat itu bukanlah rekahan seperti yang nampak dengan mata kasar,” katanya ketika ditemui Kosmo!, di sini, hari ini.

Rusli ketika menunjukkan gam tampalan bangunan PPR tersebut dari arah dalam balkoni.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar serta video memaparkan satu garisan lurus berwarna hitam didakwa merupakan rekahan pada jambatan yang menghubungkan antara blok.

Perkara itu sekali gus mendatangkan kerisauan kepada penduduk yang mendakwa bangunan tersebut tidak selamat untuk didiami.

Rosli berkata, pihaknya kesal kerana isu tersebut diwujudkan sesetengah pihak tanpa merujuk kepada pihaknya terlebih dahulu.

Jelasnya, dengan adanya tampalan tersebut, tiada isu tentang keselamatan malah bangunan tersebut kukuh untuk didiami walaupun telah lama terbina.

“Saya kesal sebab individu tersebut tak jumpa saya atau pihak pengurusan terlebih dahulu sebelum tularkan perkara ini.

“Saya harap jawapan saya menjawab isu kerisauan lebih-lebih lagi para penduduk. Isu ini bukannya terpencil, dan kami mengambil maklum tentang perkara ini. Cuma boleh rujuk dengan kami sebelum buat sebarang dakwaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI