PUTRAJAYA – Kumpulan KNKV yang menjadi penganjur Islamic Distinguished Enterprise Awards (IDEA) akan terus komited untuk membangunkan platform yang akan memperkasakan perniagaan dan membentuk naratif dan juga mempromosikan kepimpinan yang bertanggungjawab.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zurainah Musa berkata, platform tersebut juga dilihat dapat mempromosikan kepimpinan yang bertanggungjawab.
Menurut beliau, melalui inisiatif pembangunan IDEA, pihaknya memiliki objektif untuk membangunkan satu medium yang boleh melangkaui tajuk dan juga trofi.
“Anugerah ini bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dan kejayaan sesebuah syarikat itu tetapi juga mengiktiraf nilai yang akan membawa kepada aspek tanggungjawab, amanah, etika dan juga ketelusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil dan trofi kepada penerima IDEA untuk beberapa kategori di sini baru-baru ini.
Anugerah edisi kedua IDEA telah menghimpunkan tokoh industri dari dalam dan luar negara termasuk penerima anugerah antarabangsa yang telah menjadikan ia sebagai satu medan pengiktirafan tertinggi kepada syarikat yang menggabungkan prinsip perniagaan moden dan etika Islam.
Penerima anugerah antarabangsa pada majlis berkenaan adalah Muslim Pro dari Singapura, Human Appeal dari Australia dan ZTE dari China.
Selain KNKV, majlis tersebut telah mendapat sokongan daripada CTOS Data System dan Universiti Malaysia Kelantan.
Antara pemenang anugerah tersebut adalah LBS Bina Group Sdn Bhd., AEON Bank Berhad, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd., Ajinomoto Sdn Bhd., Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, Delima Oil Product Sdn Bhd dan Sugarbomb Worldwide Sdn Bhd serta MBG Fruits Sdn Bhd. -KOSMO! ONLINE