SUNGAI BULOH – Gara-gara siaran langsung di aplikasi TikTok, seorang lelaki diserang sekumpulan individu dalam kejadian di kawasan perumahan Bandar Seri Coalfields (BSC) di sini, semalam.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati kumpulan terbabit terhadap kandungan siaran langsung TikTok mangsa yang menitipkan beberapa nasihat kepada mereka.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima dua rakaman video tular berhubung kejadian itu pada pukul 12.57 tengah malam.
“Kejadian berlaku di pondok pengawal. Mangsa dipercayai menasihati beberapa individu supaya tidak bergaduh dan tidak bersikap seperti gengster, selain menyeru mereka berpolitik secara baik tanpa provokasi.
“Kenyataan itu dipercayai menyentuh sensitiviti pihak terbabit sehingga mencetuskan serangan fizikal terhadap mangsa di kediamannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang berusia 47 tahun.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video kejadian bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menggugat ketenteraman awam.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azraai Mohamad Amin di talian 018-9696941. – KOSMO! ONLINE