fbpx

’30 hari saya sengsara’ – Elfira Loy nyaris jadi puteri bunian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Elfira mendedahkan nyaris terperangkap dalam dunia ghaib bunian.

PETALING JAYA – Sebulan tidak tenteram, pelakon Elfira Loy mendedahkan pengalaman menakutkan ketika menjalani penggambaran sebuah drama apabila diganggu makhluk halus sehingga hampir ‘disunting’ sebagai puteri bunian.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, berkata, detik menyeramkan itu berlaku ketika penggambaran dilakukan di sebuah chalet di Hulu Langat.

“Lebih 30 hari saya berlakon dan lebih 30 hari juga saya sengsara nak melawan ‘benda’ itu.

“Cerita ini tentang budak-budak sekolah agama, jadi penggambarannya adalah di sebuah chalet yang sangat cantik,” katanya menerusi audio siar Sembang Seram.

Tambah pelakon Putih dan Putera Hodoh: Revival itu, gangguan bermula selepas dia mengambil gambar berdekatan sebatang pokok menjelang waktu maghrib.

“Saya memang suka pokok dan bunga. Hari itu saya bergambar di kawasan pokok, tak sedar pun waktu hampir maghrib.

“Esoknya saya mula rasa resah, panas dan tak selesa langsung. Perasaan itu buat saya gelisah sepanjang penggambaran,” kongsinya.

Lebih teruk, gangguan itu berlanjutan sehingga dia terpaksa dibantu seorang kru lelaki yang mendakwa dirinya arif dalam hal mistik.

“Ada seorang abang ni selalu tanya saya okey atau tidak. Dia pergi ke belakang saya, katanya rasa panas sangat.

“Dia cakap anak-anak bunian ikut saya balik. Mereka tertarik sebab saya bergambar dekat kawasan pokok buluh,” ujarnya.

Tambah ibu dua anak itu, lebih menyeramkan apabila diberitahu bunian itu tertarik kepadanya kerana menyangka dia adalah puteri mereka.

“Saya baru teringat watak saya dalam drama itu menggunakan nama puteri bunian.

“Jadi mereka nak saya jadi salah seorang daripada mereka. Saya rasa sangat lemah dan tak bermaya.

“Selain itu, benda jahat lain pun turut berminat dengan saya,” dedahnya.

Elfira mengakui pengalaman itu benar-benar mengubah persepsinya terhadap dunia ghaib dan kini lebih berhati-hati terutama ketika berada di lokasi sunyi.

Pengalaman pelakon itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya pernah mengalami gangguan serupa.

Namun tidak kurang juga yang menasihatinya agar lebih berhati-hati dan menjaga adab di tempat asing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI