BANDAR RAYA MEXICO – Sebuah syarikat perbankan di Mexico menerima kecaman ramai selepas memaksa seorang warga emas yang uzur pergi ke salah satu cawangannya bagi melakukan pengesahan identiti, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Kejadian berlaku di cawangan perbankan Banco Billbao Vizcaya Argentaria (BBVA) bandar Oaxaca.
Fidelia Vasquez Nuno, 96, dilaporkan menghidap pelbagai penyakit kronik, menyebabkan pergerakannya terjejas.
Nuno dibawa ke cawangan perbankan itu untuk membetulkan kesilapan dalam pendaftaran biometrik yang menghalangnya daripada menerima wang pencen selama enam bulan.
“Kami telah menyerahkan segala-galanya termasuk dokumen rasmi, surat kuasa wakil dan wakil sahnya. Namun, pihak bank meminta ibu datang ke cawangan walaupun keadaannya lemah.
“Pengurus cawangan BBVA memberitahu bahawa penerimaan pencen digantung dan kami perlu mematuhi banyak keperluan demi mengaktifkannya semula. Ini adalah perintah,” kata anak lelaki warga emas itu, Gilberto Ayala.
Menurut ahli keluarga Nuno, bank itu tidak menawarkan alternatif lain meskipun keadaannya tidak mengizinkan.
Selepas kejadian itu, keluarga Nuna memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan dan beberapa jabatan lain untuk tindakan lanjut. – AGENSI