fbpx

Malaysia tunggu jawapan AS adakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Menteri Luar Asean sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan GCC, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR — Malaysia masih menunggu maklum balas daripada Amerika Syarikat mengenai penganjuran Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan bahawa usaha sedang giat dijalankan bagi menganjurkan Sidang Kemuncak Khas tersebut.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun secara rasmi menulis surat kepada pihak pentadbiran AS untuk memohon agar sidang khas itu dapat direalisasikan pada tahun 2025.

“Perdana Menteri telah pun menulis kepada pihak AS, memohon agar diadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS dalam tahun ini.

“Kami masih menunggu maklum balas daripada pihak AS. Harapnya, kami akan terima berita baik dan dapat adakan sidang khas itu tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS ini dijangka menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan dua hala dan sebagai simbol komitmen bersama ke arah keamanan, kemakmuran dan kerjasama serantau yang lebih mendalam.

Pada Februari lalu, Mohamad berkata, perancangan mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-AS telah dipersetujui pada peringkat Menteri-menteri Luar ASEAN bagi memastikan ASEAN tidak dilihat condong ke mana-mana negara.

Tambah beliau, Malaysia juga bersedia menjadi tuan rumah bagi penganjuran sidang kemuncak khas tersebut, namun ia bergantung kepada keputusan pihak AS.

Terdahulu, Mohamad telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di sini sebagai persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China yang dijadual berlangsung pada esok hingga 27 Mei 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI