CANBERRA – Seorang lelaki di Australia berdepan detik cemas apabila dia diserang dan dilemaskan di dalam banjir oleh seekor kanggaru liar, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kejadian berlaku di bandar Post Macquarie, negeri New South Wales kelmarin.
Ia merupakan salah satu bandar yang dilanda banjir teruk akibat hujan lebat dengan kematian sekurang-kurangnya tujuh orang, manakala 50,000 penduduk terjejas.
Lelaki bernama Don James berkata, dia terserempak dengan seekor kanggaru di tepi jalan sebelum haiwan itu mula menumbuknya.
Mangsa bertarung untuk menyelamatkan nyawanya ketika dia dipukul berulang kali oleh kanggaru tersebut sebelum kepalanya ditenggelamkan di dalam air banjir.
“Semasa kejadian, saya hanya ingat bahawa kepala saya ditenggelamkan di dalam air dan saya terus menendang kanggaru itu serta menjerit,” kata James sambil menyifatkan pertembungan tersebut sebagai traumatik.
Dia berjaya melarikan diri selepas kanggaru itu dihampiri sebuah kereta.
Penyelamat hidupan liar tempatan, Kym Kilpatrick berkata, haiwan liar yang tertekan akibat banjir dan berasa terancam mampu menunjukkan tingkah laku luar biasa.
Kilpatrick turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan mereka. – AGENSI