fbpx

Konflik Myanmar: Isu dalaman ASEAN, biarlah ASEAN selesaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Menteri Luar Asean sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan GCC, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON KOSMO!

KUALA LUMPUR – ASEAN tidak berhasrat untuk mengambil tindakan seperti sekatan bersasar terhadap Myanmar susulan tindakan tentera Junta Myanmar yang dikatakan tidak ambil serius terhadap Konsensus Lima Perkara berkait konflik di negara tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun ASEAN mengalu-alukan sokongan atau bantuan daripada pihak luar dalam menghulurkan sumbangan kemanusiaan kepada rakyat negara tersebut.

“Kita tidak mahu ambil tindakan lain luar daripada itu kerana kita pastikan supaya isu dalaman ASEAN, biarlah ASEAN yang menyelesaikannya.

“Bagaimanapun, kita mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan dan sokongan daripada pihak luar terutama dalam kita memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang memerlukan bantuan,” katanya pada sidang akhbar Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya berhubung berkemungkinan ada cadangan untuk mengenakan tindakan sekatan bersasar atau meningkatkan koordinasi dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Kumpulan Tujuh (G7) susulan konflik di Myanmar.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Konsensus Lima Perkara merupakan tunggak jalan penyelesaian terhadap konflik di Myanmar dan ia dipersetujui bersama oleh semua kepimpinan ASEAN termasuk kepimpinan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar yang juga salah seorang daripada penanda tangan.

“Konsensus ini tidak ada apa sangat masalah jika ada kejujuran dan keikhlasan kerana yang kita perlukan supaya mereka hentikan permusuhan, gencatan senjata, berunding dan berbincang bersama-sama dengan bawa semua pihak selain pastikan tiada halangan bantuan kemanusiaan.

“Yang lain-lain itu bila dah bersama-sama nanti, kita pastikan supaya Myanmar kembali semula untuk mereka adakan sebuah kerajaan demokratik sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI