WASHINGTON – Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) menyekat sementara larangan Presiden Donald Trump untuk mengecualikan pelajar asing daripada diambil belajar di Universiti Harvard, lapor laman berita CNN semalam.
Perintah injuksi sementara itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Daerah AS, Allison Burrough, beberapa jam selepas universiti berkenaan memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump Jumaat lalu.
Harvard berhujah bahawa pembatalan pensijilan dalam Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) adalah tindak balas punitif yang jelas bagi penolakannya terhadap tuntutan dasar kerajaan serta tidak mematuhi undang-undang.
“Ia adalah tindakan terbaharu kerajaan terhadap Universiti Harvard yang melaksanakan hak Pindaan Pertama Pelembagaan bagi menolak tuntutan kerajaan untuk mengawal tadbir urus, kurikulum dan ideologi fakulti Harvard serta pelajarnya,” kata institusi berkenaan dalam aduan itu.
Burroughs yang dilantik oleh bekas Presiden AS, Barack Obama berkata, Universiti Harvard akan terjejas dan tidak boleh diperbaiki sekiranya kerajaan dibenarkan membatalkan pensijilan institusi itu sebelum ia dipertimbangkan oleh mahkamah.
Persidangan jarak jauh dalam kes itu ditetapkan pada Selasa. Dua hari kemudian, hakim akan mendengar hujah di Mahkamah Persekutuan di Boston mengenai sama ada akan mengeluarkan injunksi awal.
Larangan pentadbiran Trump itu dibuat sebagai hukuman terhadap universiti berprestij terbabit kerana enggan tunduk kepada tuntutan dasar White House.
Trump berang dengan Harvard yang telah menghasilkan 162 pemenang Hadiah Nobel, kerana menolak permintaan beliau agar tunduk kepada pengawasan mengenai kemasukan dan pengambilan kakitangan susulan dakwaan bahawa universiti itu menjadi sarang anti-Semitik dan ideologi liberal ‘woke’.
“Harvard tidak lagi boleh mendaftarkan pelajar antarabangsa, manakala pelajar asing sedia ada mesti dipindahkan atau berdepan kehilangan status sah mereka,” kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS dalam satu kenyataan. – AGENSI