fbpx

ASEAN mesti berani lindungi kepentingan sosioekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul bergambar bersama delegasi ketika Mesyuarat AECC ke-25 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – ASEAN mesti melangkaui pendekatan ‘seperti biasa’ dan mengamalkan strategi yang berani, tangkas dan berpandangan jauh untuk melindungi serta memajukan kepentingan sosioekonominya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Azizz berkata, perkara itu diperakui negara anggota ASEAN pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini.

“Kami menegaskan semula bahawa pemusatan ASEAN, dasar tidak berpihak, berkecuali dan perpaduan kekal menjadi asas ketahanan dan kejayaan kami.

“Kepelbagaian rantau ini, kekuatan ekonomi secara kolektif, kestabilan politik dan komitmen bersama merupakan asas penting untuk mengharungi cabaran semasa dan akan datang dengan jaya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat AECC ke-25 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 kini berada dalam tahun terakhir pelaksanaan dengan kadar pelaksanaan telah mencapai 97 peratus sehingga April 2025.

Menurut beliau, Pelan Induk AEC 2025 telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap ekonomi ASEAN dengan berfungsi sebagai peta strategik untuk membina ekonomi serantau yang bersepadu.

Ujar beliau, kemajuan ketara telah dicapai dalam bidang seperti liberalisasi perdagangan, pemudahcara pelaburan, pembangunan PKS, transformasi digital dan inisiatif ekonomi mampan.

Justeru, katanya, ASEAN telah bersiap sedia untuk melancarkan pelan pengganti kepada Pelan Induk AEC 2025 iaitu Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026–2030.

“Dokumen ini akan dilancarkan sebagai sebahagian daripada Kompendium bersama Wawasan Komuniti ASEAN 2045 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46,” katanya.

Selain itu, katanya, mesyuarat turut membincangkan dan mengesahkan semula sokongan untuk memudahkan serta mempercepatkan penyertaan Timor-Leste ke dalam Perjanjian Ekonomi ASEAN (AEA)

Ujar beliau, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menegaskan bahawa penyertaan Timor-Leste adalah keutamaan dalam Pengerusian ASEAN bagi tahun 2025.

“Kami amat percaya bahawa kemasukan Timor-Leste sebagai Negara Anggota ke-11 ASEAN akan mengukuhkan lagi pertumbuhan dan potensi ekonomi rantau ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI