fbpx

Pearly-Thinaah enggan pendam kekecewaan terlalu lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU wanita negara, Pearly Tan (kiri) dan M. Thinaah (kanan) dilihat kecewa apabila impian mereka untuk ke pentas final berkecai selepas tewas ketika berdepan beregu China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena di sini, hari ini. Gambar: ISKANDAR ISHAK

KUALA LUMPUR – Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah enggan terus memendam kekecewaan terlalu lama selepas gagal mara ke final Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 apabila tewas di tangan pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Turun dengan keyakinan tinggi selepas menjuarai Terbuka Thailand minggu lalu, Pearly-Thinaah gagal menandingi kekuatan dan ketangkasan gandingan lawan yang meraih kemenangan dalam pertarungan tiga set, 21-16, 15-21, 21-14 dalam tempoh 75 minit.

Pearly mengakui mereka telah bermain dengan baik cuma beberapa kesilapan mudah telah membuka ruang kepada pasangan China untuk mencipta kemenangan.

“Untuk perlawanan hari ini, kita rasa agak kecewa tetapi kita tidak akan bersedih lama. Kami tidak mahu perlawanan ini menjejaskan persiapan untuk dua kejohanan berturut-turut dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Sudah tentu, bermain dalam kejohanan berturut-turut sangat mengujakan dan kami mengambilnya langkah demi langkah, satu perlawanan pada satu masa.

“Saya rasa kami telah memberikan yang terbaik dan bermain dengan baik. Saya berharap kami terus saling memberi keyakinan dan menampilkan aksi terbaik di gelanggang,” kata Pearly sejurus tamat perlawanan.

Kekalahan tersebut sekali gus menyebabkan beregu ranking No.4 dunia itu kini ketinggalan 1-2 dalam rekod pertemuan menentang pasangan No. 15 dunia tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasangan berentap adalah di suku akhir Orleans Masters pada Mac lalu yang menyaksikan Yi Fan-Shu Xian mencatat kemenangan. Sebelum itu, Pearly-Thinaah pernah mencatat kemenangan dalam pertemuan pertama di Terbuka India, Januari lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI