KUALA LUMPUR – Keanggotaan penuh Timor Leste sebagai anggota ASEAN dilihat bakal memperkukuhkan hubungan blok serantau, seterusnya berupaya menjadi antara kuasa besar ekonomi dunia dengan kependudukan melebihi 680 juta orang.
Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pada masa sama, penerimaan Timor Leste dalam blok ASEAN juga membuka lebih peluang kepada negara itu terus berkembang dalam aspek ekonomi dan perdagangan.
“Kita melihat dalam suasana geopolitik yang tidak stabil, lebih baik mempunyai lebih ramai rakan anggota yang selari dengan prinsip ASEAN daripada mengetepikan mereka.
“Kepentingan bersama sebagai satu rantau berkecuali dilihat lebih penting daripada membiarkan sesuatu negara dipengaruhi oleh kuasa besar untuk kepentingan politik mereka sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Untuk rekod, Timor Leste berusaha menjadi anggota ASEAN sejak 2011 yang mana pada Sidang Kemuncak ASEAN pada November 2022 di Phnom Penh, Kemboja, keanggotaan ke-11 negara itu telah diterima secara dasar.
Ahmed Razman berkata, Timor Leste sudah lama memohon penyertaan dalam ASEAN yang mana sidang kemuncak kali ini menjadi platform sama ada negara itu menjadi anggota penuh atau kekal sebagai pemerhati.
“Dalam landskap geopolitik dunia ketika ini, banyak kuasa unipolar telah menjadi bipolar atau multipolar iaitu banyak negara mulai ada gagasan masing-masing.
“Jadi, kita tidak mahu Timor Leste dipengaruhi oleh mana-mana pihak lain yang berkepentingan kerana kita lihat China sebagai contoh banyak melabur di Timor Leste,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengapa Timor Leste dilihat lewat menyertai ASEAN, Ahmed Razman berkata, kelewatan keanggotaan negara itu melibatkan banyak faktor termasuk aspek geopolitik.
“Justeru, kita memerlukan konsensus daripada semua negara untuk terima keanggotaan Timor Leste.
“Selain itu, kita juga tidak mahu mana-mana negara menjadi proksi kepada kuasa besar. Jadi, saya lihat ia ada keperluan bawa Timor Leste dalam ASEAN.
“Ia agar blok serantau ini bebas daripada mana-mana pengaruh kuasa besar dan kekal berkecuali, seterusnya membawa kemakmuran ekonomi di rantau ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE