JOHOR BAHRU – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku dirinya tidak mempunyai sebarang senarai ‘cai’ dalam Pemilihan PKR Peringkat Pusat, hari ini.
Sebaliknya, Perdana Menteri memberitahu dia memilih kedua-dua kempen iaitu Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) dan Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif (DAMAI).
“Sudah mengundi tadi, saya tiada bawa ‘cai’ sebab tu ambil masa panjang (mengundi) kerana teliti satu persatu, itu yang sebaiknya.
“Kita tengok yang terbaik, itu yang kita undi. Jadi kalau sesetengah ada ‘cai’ sana ada ‘cai’ sini, saya tidak. Saya juga harap dalam keputusan kedua-dua (pihak) diambil kira yang dirasakan terbaik,” katanya selepas selesai melaksanakan tanggungjawab memilih jawatankuasa kepimpinan pusat PKR bagi penggal baharu di Hotel Berjaya Waterfront, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kehadiran Datuk Seri Rafizi Ramli pada Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor malam ini, beliau yakin Menteri Ekonomi itu akan hadir.
“Dia tidak maklumkan kepada saya, tetapi sebagai Timbalan Presiden saya ‘assume’ dia akan datang, dia selalu datang (program parti).
“Mesyuarat Jemaah Menteri pun dia datang, dia jalankan kerja dengan baik seperti biasa, bentang dan ulas ‘paper’,” ujar Ahli Parlimen Tambun itu lagi.
Sementara itu, beliau turut memberitahu ucapan perasmiannya pada malam ini dijangka akan menyinggung beberapa pihak. – KOSMO! ONLINE