fbpx

Pegawai kanan Jusa C, pengarah urusan syarikat umrah kena dakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan (kiri) dan Mohamad Anas ketika tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Seorang bekas Setiausaha Bahagian sebuah jabatan kerajaan dan pengarah urusan agensi pelancongan umrah didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan salah guna harta sehingga RM200,000.

Kedua-dua tertuduh iaitu Datuk Azlan Johar, 54, dan Mohamad Anas Mohamad Naem, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, Azlan didakwa secara tidak jujur telah menyalahgunakan sebahagian peruntukkan daripada Program Pemantapan Felda Madani 2024 berjumlah RM200,000 dengan cara menyerahkan kepada abang kandungnya berusia 57 tahun bagi kegunaan peribadi.

Azlan yang bergred Jusa C melakukan kesalahan itu di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis X70 di tepi bahu jalan Medan, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi kira-kira pukul 10 pagi pada 7 September lalu.

Azlan kini ditukarkan dan ditugaskan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sementara, Mohamad Anas yang juga mutawif telah menggunakan wang milik sebuah syarikat agensi pelancongan berjumlah RM128,399.19 di sebuah cawangan bank di Denai Alam antara 16 November 2023 hingga 6 September 2024.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan antara RM20,000 hingga RM30,000 bersama penjamin beralamat di Selangor dan Kuala Lumpur selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak menganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Peguam Zainal Omar mewakili Azlan dan Peguam Muhammad Kausar Mohd. Khairi mewakili Mohamad Anas masing-masing memohon pengurangan jaminan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap tertuduh bersama seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 25 Jun dan 23 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI