LANGKAWI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Perjanjian tersebut ditandatangani Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Lokman Hakim Ali sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Majlis berlangsung sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), di sini hari ini.
Sistem radar yang baharu itu bakal memperkukuhkan keupayaan pemantauan dan kawalan ruang udara di wilayah selatan Semenanjung Malaysia sekali gus mengukuhkan keselamatan dan kedaulatan negara.
Pemeteraian perjanjian tersebut adalah simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkasa keupayaan serta kesiapsiagaan sistem pertahanan negara.
Ia menerusi penyediaan infrastruktur ketenteraan kritikal berteraskan teknologi komunikasi dan keselamatan.
Selain itu, perjanjian berkenaan turut melambangkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa keselamatan negara melalui pendekatan kolaboratif antara sektor awam dengan pertahanan.
Menerusi perjanjian tersebut, MCMC dan Angkatan Tentera akan bersama-sama melaksanakan inisiatif strategik menyeluruh bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh TUDM.
Sokongan itu adalah sejajar dengan pendekatan Whole-of-Government yang mengutamakan sinergi antara agensi bagi mencapai aspirasi nasional. – KOSMO! ONLINE