fbpx

Lebih 100 rumah di Sumatera rosak dilanda gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA-ANGGOTA penyelamat membantu penduduk mencari barangan berharga di kediaman mereka yang rosak akibat gempa bumi di Kampung Betungan, wilayah Bengkulu hari ini. – AFP

JAKARTA – Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 melanda berhampiran Pulau Sumatera hari ini, kata Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), mengakibatkan lebih 100 buah rumah rosak, namun tiada laporan kemalangan  jiwa.

Menurut USGS,  gempa itu berlaku pukul 2.52 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 68 kilometer di bawah tanah dengan pusat gempa terletak di luar pantai berhampiran wilayah Bengkulu.

Agensi meteorologi Indonesia bagaimanapun merekodkan magnitud lebih tinggi iaitu 6.0 dengan pusat gempa berada pada kedalaman 84 kilometer, sambil menambah, tiada risiko tsunami.

Gegaran itu merosakkan lebih 100 rumah dan sekurang-kurangnya enam kemudahan awam di ibu kota wilayah Bengkulu, kata  jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana(BNPB), Abdul Muhari dalam satu  sidang akhbar hari ini.

“Di bandar Bengkulu (ibu negeri wilayah Bengkulu), sebanyak 140 rumah terjejas dengan lapan daripadanya runtuh,” kata Abdul Muhari.

Di daerah Bengkulu Tengah pula, dua kediaman mengalami kerosakan kecil, tambahnya.

Abdul Muhari menambah, tiada kemalangan jiwa dalam bencana itu setakat pagi tadi.

Beberapa penduduk di Bengkulu berkata, mereka dikejutkan oleh gegaran dan segera bergegas keluar.

“Semasa gempa bumi berlaku,  tingkap rumah (saya) bergegar kuat. Itulah yang mengejutkan kami.
“Kami lantas membawa anak-anak keluar rumah,” kata Erick Catur Nugroho, 36, kepada AFP.

Negara kepulauan luas itu kerap mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di ‘Lingkaran Api’  di mana plat tektonik bertembung yang membentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi Lembangan Pasifik.

Gempa bumi bermagnitud 6.2 yang menggegarkan Sulawesi pada Januari 2021 membunuh lebih daripada 100 orang dan menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI