KUALA LUMPUR – Penyanyi yang semakin meningkat naik, Zaki Yamani enggan dirinya terus dibayangi bapanya sendiri iaitu penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.
Disebabkan itu jugalah Zaki atau nama lengkapnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 19, memilih untuk menyertai uji bakat program terbaru terbitan Astro, Raise The Star Malaysia.
“Biarpun sudah beberapa lagu yang saya keluarkan sebelum ini, tetapi orang masih nampak saya sebagai anak Jamal Abdillah berbanding Zaki Yamani.
“Orang mungkin mengenali saya, tetapi mereka hanya kenal saya sebagai anak Jamal Abdillah. Mereka tak tahu pun saya menyanyi lagu genre apa dan sebagainya.
“Jadi saya harap dengan penyertaan saya dalam program ini sedikit sebanyak dapat membuatkan orang lebih mengenali siapa Zaki Yamani,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di pusingan Top 100, di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, penyertaannya dalam rancangan Famili Duo terbitan TV3 beberapa tahun lalu belum menyerlahkan sisi suaranya yang kini jauh lebih matang.
“Ketika itu saya masih muda. Suara pun baru nak ‘develop’. Abang Ajai pun nampak saya bergelut mencari identiti sendiri dan lari daripada bayangan bapa saya.
“Melalui program Raise The Star Malaysia ini juga saya berharap dapat lari lagi daripada bayangan bapa saya sendiri.
“Sekarang ini bukan sahaja suara yang orang samakan, penampilan saya juga turut disamakan dengan Jamal Abdillah. Saya pakai jaket kulit mereka kata sama dengan Jamal, pakai singlet pun mereka kata sama,” kongsinya.
Ditanya adakah bapanya mengetahui pembabitannya dalam rancangan ini, kata Zaki dia belum memberitahu bapanya.
“Saya tak pernah beritahu dia apa-apa pun yang saya nak buat. Waktu beli kereta dulu pun saya tak beritahu dia. Begitu juga dengan perancangan karier saya. Saya hanya akan beritahu dia bila semua dah terjadi,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zaki bakal muncul dengan lagu duet bersama anak Datuk Nora Ariffin iaitu Putri Dahlia yang berjudul Aku Ada. KOSMO! ONLINE