BESUT – Ibu bapa seorang murid menarik balik laporan polis mendakwa kepala anak lelaki cedera dibaling kotak pensel oleh salah seorang gurunya.
Insiden itu didakwa berlaku di sebuah sekolah rendah di daerah ini semalam sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati ibu bapa kanak-kanak tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, laporan berhubung kes itu ditarik balik setelah mendapati dakwaan tersebut cuma salah faham.
Beliau berkata, sebelum itu, polis menerima laporan berhubung kes itu pada pukul 4.48 petang kelmarin.
“Laporan itu mendakwa belakang kepala murid sekolah rendah itu cedera akibat terkena kotak pensel yang dibaling seorang guru.
“Begitupun pertemuan antara ahli keluarga, pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut pada pukul 12 tengah hari ini mendapati ia cuma salah faham,” katanya di sini hari ini.
Azamuddin berkata, sehubungan itu, laporan polis tersebut telah ditarik balik keluarga kanak-kanak berkenaan pada pukul 4.40 petang semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata, kes berkenaan telah dirujuk kepada PPD Besut bagi tindakan lanjut.
Terdahulu tular beberapa klip video di media sosial dipercayai dimuat naik ibu bapa kanak-kanak mendakwa anaknya dicederakan guru. Difahamkan ahli keluarga murid terbabit juga telah memuat naik video terbaharu permohonan maaf berhubung salah faham terbabit – KOSMO! ONLINE