KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang dikaitkan dengan kes memuat naik sijil nikah palsu di media sosial membabitkan ahli keluarga diraja, dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Norma Ismail mengeluarkan waran terhadap wanita yang berusia 43 tahun itu selepas dia gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.
Permohonan waran tangkap itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hanif Ahijman.
“Berdasarkan maklumat pegawai penyiasat, wanita itu tiada di mahkamah bagi mendengar pertuduhan (yang sepatutnya) dibacakan pada pukul 9 pagi sedangkan saman terhadap wanita itu diserahkan sendiri pada 29 April lalu.
“Memandangkan dia tidak hadir ke mahkamah pada hari ini, pendakwaan memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” katanya.
Selepas membenarkan permohonan tersebut, mahkamah menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan waran tangkap tersebut.
Wanita itu sepatutnya menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik sijil perkahwinan palsu dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di akaun TikTok pada Februari tahun ini.
Pada Mac lalu, dia telah ditahan untuk disoal siasat oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu tetapi telah dibebaskan selepas itu. – KOSMO! ONLINE