JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu secara melawan arus di Kudus, wilayah Jawa Tengah sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, lapor laman berita Harian Batak Pos semalam.
Dalam video tersebut, SUV berwarna hitam itu dipandu melawan arus sehingga ia berhenti betul-betul di hadapan sebuah lori.
“Kenderaan hitam nekad melawan arus sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas,” kata keterangan video tersebut yang dimuat naik di laman sosial.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca kenderaan tersebut boleh dipandu dalam arah yang salah.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Lori pun ‘takut’ kepadanya kerana dia lebih besar,” kata seorang netizen secara sinis.
“Disebabkan dia, jalan sesak,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI