fbpx

Situasi di Gaza antara isu utama dibincang dalam Pemukiman Pemimpin ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa malam tadi.

PETALING JAYA – Situasi di Gaza, usaha memperkukuh ikatan sesama negara anggota, kepentingan ekonomi dan perdagangan serantau antara isu utama yang akan dibincangkan dalam Pemukiman Pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dimaklumkan dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa malam tadi.

“Saya turut menekankan kepentingan projek Grid Tenaga ASEAN sebagai satu langkah besar dalam memperkukuh kerjasama tenaga di peringkat serantau.

“Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, tekad untuk terus memacu ASEAN ke hadapan sebagai sebuah kuasa serantau yang berprinsip, dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan mampan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Selain itu beliau berkata, menyentuh isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat, beliau menegaskan bahawa keutamaan Malaysia ketika ini adalah terhadap pembaharuan ekonomi domestik selain memperluas kerjasama melalui ASEAN dan rakan utama seperti China, India, Pakistan serta memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU).

“Malaysia kekal komited sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, meneruskan hubungan dengan rakan dagang tradisional seperti China dan Amerika Syarikat, di samping meneroka pasaran baharu termasuk menjalin hubungan dagang dengan Rusia.

“Sebelum pulang, saya berkesempatan beramah mesra dengan para pengamal media termasuk kenalan lama sambil mengimbas kembali momen-momen terdahulu serta bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa dan global,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI