PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) menasihati pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan beberapa lebuh raya kendaliannya secara berperingkat bermula pukul 7 pagi esok hingga 26 Mei ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
PLUS dalam kenyataannya berkata, laluan terlibat adalah KLIA-Putrajaya di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), laluan Subang-Jalan Duta di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan laluan Sungai Buloh-Jalan Duta di Lebuh Raya Utara-Selatan.
Pada 28 Mei, penutupan secara berperingkat bermula pukul 8 pagi melibatkan laluan KLIA-Putrajaya di Lebuh Raya Elite, laluan Subang-Jalan Duta di Lebuh Raya Subang-Jalan Duta di Lebuh Raya NKVE serta laluan Sungai Buloh-Jalan Duta di Lebuh Raya Utara-Selatan.
“Pihak Plus akan bersiap sedia dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi di lebuh raya kendalian Plus sepanjang tempoh tersebut.
“Dalam masa sama, pihak Plus akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa khususnya anggota trafik bertugas bagi memudahkan pergerakan delegasi di lokasi-lokasi yang melalui lebuh raya kendalian Plus,” katanya hari ini.

Plus menasihatkan pengguna lebuh raya terutama menuju atau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan TUDM Subang supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
Orang ramai disaran memberi kerjasama dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta petugas trafik di lokasi.
Untuk maklumat terkini trafik, orang ramai boleh merujuk platform media sosial JSPT/PDRM, aplikasi Plus, X @PLUSTrafik, atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih.
Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Waze bagi merancang perjalanan dengan lebih efisien.
Kosmo! melaporkan enam lebuh raya dan 25 laluan utama di Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 bermula pada 23 hingga 28 Mei ini bagi memberi laluan kepada pergerakan pemimpin luar negara. – KOSMO! ONLINE