GUA MUSANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas trak pikap dipandu dihanyutkan arus deras Sungai Suma di Kuala Betis di sini disambung semula hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam kelmarin, mangsa, Chan Chong Cheng, 51, bersama dua penumpang masing-masing warga Pakistan dan Bangladesh menaiki trak pikap jenis Toyota Prado dalam perjalanan ke Pos Bihai atas urusan kerja.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi SAR bermula pukul 10 pagi tadi dan sebanyak lima buah trak pikap bergerak masuk ke lokasi kejadian di Pos Bihai.
Katanya, keadaan jalan balak yang licin dan rosak teruk menyebabkan laluan ke lokasi kejadian sukar dimasuki.
“Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1.31 tengah hari semalam. Pegawai dan anggota bergerak ke lokasi kira-kira sejam kemudian
“Pasukan SAR menggunakan laluan Jalan Kuala Betis-Pos Bihai, namun tidak dapat sampai ke lokasi kerana keadaan jalan yang berlumpur dan tidak boleh dilalui,” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE