PETALING JAYA – Perdana Menteri menyatakan kepentingan kerajaan untuk meneruskan dialog bersama pemain industri bagi memastikan dasar dan pelaksanaannya membuahkan hasil seperti yang dihasratkan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu terbukti apabila wakil syarikat multinasional bersama Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC) memberi maklum balas baik susulan pertemuan yang diadakan tahun lalu.
Katanya, respons itu disampaikan kepada beliau sewaktu menerima kunjungan hormat daripada delegasi US-ABC diketuai Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantau, Brian D. McFeeters hari ini.
“US-ABC adalah organisasi bukan bermotifkan keuntungan yang menjalankan penyelidikan dan analisis keadaan ekonomi, alam sekitar, kewangan, politik dan sosial di negara-negara ASEAN.
“Dalam pertemuan ini, wakil syarikat multinasional yang hadir memberi maklum balas baik susulan pertemuan kami tahun lalu yang mana pelbagai kerjasama baharu terbentuk selain memudah cara kepada penyelesaian masalah yang dihadapi mereka,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Beliau berkata, selain komitmen untuk terus melabur di Malaysia, mereka turut bertukar pandangan berhubung pendekatan ke arah memperkukuh pengembangan industri melibatkan dasar, tenaga mahir dan dana. – KOSMO! ONLINE