KOTA BHARU – Seorang wanita yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pemilik spa parah disimbah asid di Beris Kubur Besar, Bachok pada Sabtu lalu merupakan orang terakhir yang berhubung dengan mangsa.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 38 tahun ada membuat janji temu untuk mendapatkan perkhidmatan spa dengan mangsa.
“Masih awal untuk dirumuskan (motif kejadian). Cuma, kita tahan reman suspek itu berdasarkan dia merupakan orang terakhir yang berhubung dan membuat janji temu untuk khidmat spa dengan mangsa.
“Perkara lain melibatkan kes tersebut masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang pekerja kilang getah direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes simbah asid sehingga menyebabkan pemilik spa parah dalam kejadian di Beris Kubur Besar di sini Sabtu lalu.
Perintah reman ke atas wanita berusia 38 tahun yang bermula hari ini sehingga Isnin depan itu dibenarkan Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi.
Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, suspek yang bekerja di kilang getah ditahan di sebuah rumah di Kuala Krai pukul 4 petang semalam.
Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan.
“Kita syak wanita itu merupakan seorang daripada suspek yang terlibat. Kita sedang kesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE