KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara wanita untuk membeli buah mangga harumanis bukan sahaja tidak kesampaian, malah wang simpanannya berjumlah RM67,573.63 lesap dikebas sindiket penipuan.
Mangsa berusia 61 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini berhubung kejadian itu pada pukul 11.27 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa membeli harumanis di Facebook pada pukul 9 pagi kelmarin.
“Mangsa diberikan kod pembelian oleh ‘peniaga’ kononnya untuk tujuan pengesahan.
“Dia (mangsa) kemudian diminta menghantar semula kod itu kepada suspek selepas membuat pengesahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, mangsa berasa cemas apabila menyedari wang simpanannya di dalam bank hilang secara tiba-tiba pada pukul 10 pagi semalam.
Tambahnya, mangsa yang kehilangan wang simpanan berjumlah RM67,573.63 segera menghubungi pihak bank untuk menyekat akaunnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE