JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang menggunakan pentas pemilihan parti itu tahun ini untuk menyebarkan ‘berita palsu’.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi bagaimanapun berkata, pihaknya enggan melayan dakwaan tidak berasas, sebaliknya mahu memberi fokus kepada kelancaran proses pemilihan demi masa depan parti tersebut.
“Saya kesal sebab apabila diberikan pentas, kadang-kadang maklumat tidak tepat, tidak betul disampaikan. Sebagai contoh dakwaan mengatakan biro politik bersetuju tidak buat pemilihan tahun ini, itu tidak betul.
“Semasa kempen pemilihan berjalan, ia berjalan dengan baik tanpa sebarang isu, tetapi seminggu dua ini jadi hiruk-pikuk, sedangkan kita mahu damai,” katanya ketika berucap pada majlis Grand Finale: Bersama Membina Parti Kita di sini hari ini.
Pada masa sama, Fahmi turut mengingatkan calon-calon yang menang jawatan tertinggi parti untuk sentiasa menyantuni akar umbi dan tidak menjauhkan diri.
Tambah beliau, langkah itu penting kerana hanya dalam tempoh dua tahun PKR perlu berdepan cabaran sebenar iaitu Pilihan Raya Umum akan datang. – KOSMO! ONLINE