LONDON – Manchester United mungkin mampu menarik nafas lega apabila hasrat mereka untuk melepaskan khidmat penjaga gol, Andre Onana pada musim panas nanti mungkin menjadi kenyataan.
Sejak berhijrah dari Inter Milan pada 2023, Onana gagal memberikan persembahan meyakinkan, malah dia turut menjadi punca kekalahan United dalam beberapa perlawanan ekoran kesilapan sendiri.
Penjaga gol antarabangsa Cameroon berusia 29 tahun itu melakukan sembilan kesilapan mudah sepanjang dua musim dalam saingan Liga Perdana Inggeris, sekali gus prestasi terburuk berbanding mana-mana penjaga gol kelab itu dalam tempoh berkenaan.
Sumber memberitahu, United telah meletakkan nama Onana dalam senarai pemain yang ingin dijual sekali gus menyebabkan perkembangan itu mendapat perhatian beberapa kelab dari Liga Arab Saudi.
Juara Divisyen 1 Liga Arab Saudi, Neom SC yang bakal dipromosi ke saingan liga utama musim depan dilaporkan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Onana untuk memperkuatkan pasukan itu musim depan
Bagaimanapun, gaji mingguan pemain itu yang mencecah £200,000 (RM1.14 juta) mungkin akan merumitkan rundingan perpindahan pemain itu biarpun United sedia menerima tawaran perpindahan pada nilai yang lebih rendah.
Pengendali United, Ruben Amorim dilaporkan sudah hilang kepercayaan terhadap Onana apabila hanya meletakkannya di bangku simpanan termasuk menghadapi perlawanan penting seperti ketika tewas kepada Newcastle United. – AGENSI