JAKARTA – Seorang pembantu rumah di Indonesia ditangkap mencuri wang sebanyak 160 juta rupiah (RM41,600) milik majikannya untuk mengadakan majlis akikah, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @febblyn memaparkan sejumlah beg plastik berisi wang kertas yang disembunyikan di dalam kotak.
Beberapa barang kemas berupa cincin dan gelang turut ditemukan.
Menurut majikan tersebut, pembantu rumahnya menggunakan wang dicuri untuk memenuhi keperluan peribadi termasuk membeli perhiasan emas dan melangsaikan hutang.
Lebih mengejutkan, dia berniat untuk membeli sebuah kereta dan mengadakan majlis akikah menggunakan wang tersebut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 2.1 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Tudung dia tidak bersalah tetapi tabiatnya!” kata seorang netizen.
“Dia (pembantu rumah berkenaan) bersalah, tetapi jangan buka aibnya,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI