SHAH ALAM – Seorang lelaki yang disyaki memecah masuk sebuah kedai telefon dan gajet melibatkan kerugian RM60,000 di Seksyen 16 di sini, bulan lalu, dicekup polis kelmarin.
Suspek tempatan berusia 33 tahun ditahan kira-kira pukul 2 petang di sekitar kawasan Pudu, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pemilik premis kira-kira pukul 12.01 tengah hari, 7 April lalu.
Jelasnya, pengadu memaklumkan terdapat kesan pecah masuk dan beberapa barangan eletronik serta gajet turut hilang disyaki dicuri.
“Pemeriksaan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati dua suspek lelaki memasuki kedai itu dengan memakai topi dan berpelitup muka.
“Mereka melarikan barangan milik pengadu dan beredar menaiki sebuah kereta Honda City berwarna maroon yang menggunakan nombor plat pendaftaran palsu. Nilai kerugian dianggarkan RM60,000,” katanya hari ini.
Kata beliau, usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.- KOSMO! ONLINE