KOTA KINABALU – Bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah meninggal dunia pada Selasa, pukul 8.45 malam tadi.
Berita pemergian Allahyarham pada usia 78 tahun itu disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong menerusi kenyataan rasmi.
Beliau berkata, Allahyarham meninggal dunia di Hospital KPJ Kota Kinabalu di sisi ahli keluarga.
Kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari dan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang selama tempoh berkenaan.
Ahmadshah merupakan Yang di-pertua Negeri Sabah kesembilan dan berkhidmat dari 1 Januari 1995 hingga 31 Disember 2002. – KOSMO! ONLiNE