PETALING JAYA – Masih ramai lagi individu kurang kesedaran sivik serta tidak cakna tentang kebersihan persekitaran apabila bertindak membuang sampah di luar tong awam yang disediakan pihak majlis daerah.
Gelagat itu dirakam menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik menerusi akaun TikTok Majlis Daerah Tumpat (MDT).
Kelihatan di dalam rakaman itu, ramai individu bersahaja membuang sampah di luar tong yang masih kosong meskipun terdapat CCTV yang merakam perbuatan mereka.
Lebih menyakitkan mata, ada individu yang sudah parkir berhampiran tong dan turun dari kenderaan namun tanpa rasa bersalah meletakkan sampahnya di atas jalan.
Sehubungan itu, MDT mengalu-alukan kerjasama daripada orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian melibatkan individu membuang sampah di luar tong sampah yang disediakan.
“Sebarang maklumat yang diterima akan membantu kami dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap pesalah. Sila salurkan maklumat anda kepada kami,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Sementara itu, di ruangan komen ramai mengecam tindakan kesemua individu yang tidak bertanggungjawab dan berharap dikenakan tindakan agar kesedaran moral dapat diperbaiki.
“Saman adalah pengajaran terbaik untuk semua ni perbaiki diri,” komen Wey.
“Mentaliti kita ni kena perbaiki. Sikap tanggungjawab kena ada dalam diri masing-masing. Didikan bermula dari rumah,” komen Shanan.
“Sebesar-besar tong, dibuangnya dekat luar juga. Memang ‘out’ mentaliti rakyat Malaysia ni,” komen Danie. – KOSMO! ONLINE