MELAKA – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) memaklumkan berlaku kerosakan pada sistem pam air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong yang menjejaskan bekalan air pili bomba ke tingkat atas bangunan.
Menurut jurucakap LPM, kerosakan itu telah dikenal pasti sejak Mac lalu dan permohonan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan telah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan anggaran kos sebanyak RM200,000.
“Kerja pembaikan sepatutnya dilaksanakan pada Jun ini sebaik peruntukan diperolehi, kami amat sedih dan tidak menjangka insiden kebakaran berlaku sebelum proses pembaikan sempat dijalankan.
“Sebagai langkah segera, LPM akan menggunakan peruntukan dalaman bagi melaksanakan pembaikan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk. Usaha ini akan dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya kepada Kosmo!, hari ini.
Tambah jurucakap itu, LPM turut menerima peruntukan sebanyak RM500,000 daripada KPKT pada Disember tahun lalu bagi membaik pulih sistem paip serta beberapa kemudahan lain di kawasan perumahan berkenaan.
Mengulas dakwaan penduduk berhubung peralatan keselamatan kebakaran yang dikatakan tidak berfungsi, pihak LPM menegaskan siasatan dalaman mendapati alat pemadam api berada dalam keadaan baik ketika pemeriksaan berkala dijalankan.
Kosmo! hari ini melaporkan sebilangan penduduk PPR Krubong mendakwa alat pemadam api dan hose reel di Blok A tidak berfungsi semasa kebakaran yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, mangsa, Muhammad Afizul Hakim Alias, ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat terperangkap dalam bilik tidur ketika api marak di unit kediaman keluarganya. – KOSMO! ONLINE