KLANG – Taktik licik seorang lelaki menggunakan van sekolah bagi menyeludup minuman keras terbongkar selepas ditahan di kawasan parkir di Taman Sri Gadong di sini, semalam.
Penahanan suspek berusia 26 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari menerusi Op Kontraban dilaksanakan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, semasa serbuan dilakukan didapati suspek sedang memindahkan minuman keras dipercayai tidak bercukai dari sebuah lori ke dalam van sekolah.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 62 kotak dan 33 crack minuman keras dalam lori terbabit.
“Selain itu, terdapat enam lagi kotak minuman sama berada di dalam van sekolah berkenaan,” katanya hari ini.
Nilai rampasan minuman keras termasuk cukai itu dianggarkan RM47,553.97.
Jelas Rusley, pihak percaya kesemua minuman keras itu adalah untuk pasaran sekitar Klang.
“Suspek dan kesemua rampasan termasuk lori dan van sekolah itu telah dibawa ke PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan termasuk mengenal pasti sumber minuman keras itu diperolehi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 Akta Eksais 1976,” katanya. – KOSMO! ONLINE