ROM – Bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp hangat diperkatakan bakal kembali mengemudi pasukan apabila dikaitkan dengan jawatan jurulatih AS Roma bagi menggantikan pengendali sementara, Claudio Ranieri.
Ketika ini, Roma dilaporkan telah membuat semua persediaan untuk memastikan Klopp dilantik mengendalikan pasukan tersebut termasuk menyusun semula kakitangan sekali gus dijangka mencetuskan revolusi besar-besaran dalam keseluruhan skuad.
Terdahulu, Klopp mengundurkan diri daripada jawatannya di The Reds pada penghujung musim lalu dan membuat keputusan untuk berehat untuk tempoh semusim, namun pemilihan Roma sebagai destinasi baharu kariernya dianggap mengejutkan.
Roma terpesona dengan keajaiban sentuhan Klopp yang pernah menghadirkan kegemilangan dan kejayaan di Borussia Dortmund dan Liverpool, sekali gus diharap mampu untuk mengulangi magis yang sama di bumi Itali.
Biarpun meraih kejuaraan pada saingan Liga Konferens Europa pada 2022 hasil sentuhan Jose Mourinho, Roma gagal untuk kekal menjadi pasukan gergasi Eropah apabila berdepan prestasi ‘turun naik’ menyebabkan berita ketibaan Klopp disambut luar biasa oleh para peminat mereka.
Kehadiran Paulo Dybala dan Lorenzo Pellegrini di dalam skuad serta rancangan untuk memperkuatkan sayap dan benteng pertahanan menjadikan harapan Roma untuk kembali berada di puncak semakin membara. – AGENSI