fbpx
Lupakan wang, kad bank atau e-dompet, sistem pembayaran dengan menggunakan hanya tapak tangan telah dipraktikkan secara agak meluas di China serta beberapa tempat di Amerika Syarikat.

Inovasi pembayaran hanya guna tapak tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INOVASI teknologi pembayaran secara dalam talian sebagai solusi mudah untuk menggantikan wang tunai telah mengubah landskap berbelanja pada masa kini.

Revolusi itu juga membolehkan pembayaran dibuat dengan hanya menggunakan tapak tangan iaitu menerusi cetakan corak urat pada tapak tangan yang unik bagi setiap individu.

Sistem tersebut berfungsi berdasarkan pengesahan biometrik yang akan dipadankan dengan maklumat akaun pengguna setelah membuat pendaftaran. Ini membolehkan transaksi dilakukan dengan pantas dan selamat.

Menurut laporan South China Morning Post, proses imbasan hanya mengambil masa beberapa saat tanpa memerlukan sentuhan fizikal, dan ia sesuai digunakan dalam persekitaran pasca pandemik yang menekankan aspek kebersihan serta keselamatan.

Dua syarikat teknologi gergasi China, Tencent dan Alibaba melalui platform pembayaran mereka iaitu WeChat Pay dan Alipay telah menggunakan kaedah itu bagi memudahkan transaksi kewangan pelanggan.

Kedua-dua organisasi tersebut boleh dikatakan berada di barisan hadapan dalam memperkenalkan teknologi pembayaran tapak tangan kepada pengguna di seluruh dunia.

Ketika ini, sistem itu boleh diguna pakai di kedai runcit, restoran, pengangkutan awam dan mesin layan diri di beberapa bandar seperti Beijing, Shanghai serta Shenzhen, termasuk 1,500 cawangan kedai serbaneka, 7-Eleven di Guangzhou.

Kemudahan Alipay merupakan inovasi pembayaran biometrik yang turut menawarkan perkhidmatan sambungan secara langsung dengan akaun e-dompet sedia ada.

Untuk makluman, Alipay kini digunakan oleh kira-kira 1.4 bilion pengguna dan lebih 80 juta peniaga di seluruh dunia.

Menurut pengasas Alibaba Group, Jack Ma, penubuhan Alipay pernah dianggap sebagai langkah berisiko selain tidak mendapat kepercayaan daripada sistem perbankan di China.

Biarpun tidak mendapat sokongan, namun beliau yakin kewujudan kecerdasan buatan (AI) yang kini mula mendominasi inovasi teknologi diharapkan dapat memberi manfaat kepada kaedah pembayaran dalam talian.

“Saya akui pada awalnya tiada bank di China yang percaya bahawa pembayaran dalam talian akan berjaya.

“Namun, saya mengambil keputusan berani untuk melancarkan Alipay demi membina kepercayaan dalam transaksi e-dagang di China.

“Saya mengharapkan Alipay dapat meraih manfaat daripada teknologi AI untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan terus berkembang, sekali gus memberikan impak positif terhadap industri pembayaran digital,” katanya dalam portal Yicai Global.

Sementara itu, Tencent melalui WeChat Pay telah memperkenalkan sistem pembayaran menggunakan tapak tangan dikenali sebagai Weixin Palm Pay yang dilancarkan pada Mei 2023.

Memetik laporan Blue Tech Wave, Ketua Inovasi Weixin Palm Pay, Kai Xia berkata, teknologi tersebut akan menjadi peneraju kepada perkembangan dunia digital yang sentiasa berkembang dan menghasilkan variasi evolusi canggih.

“Sejak pelancarannya pada 2023, sistem ini telah diterapkan di pelbagai lokasi di China untuk memberi pengalaman pembayaran tanpa sentuhan lebih selamat dan mudah.

“Ini membuktikan China berjaya berada di hadapan dalam membangunkan teknologi serta menjadi perintis kepada lembaran baharu terhadap format pembayaran.

“Kaedah ini mungkin lihat hanya digunakan di China, namun dalam beberapa tahun mendatang, pembayaran biometrik mungkin akan diguna pakai di pelbagai negara,” katanya.

Selain Weixin Palm Pay dan Alipay yang popular di China, Amazon One turut menggunakan sistem pembayaran menggunakan imbasan tapak tangan.

Ia boleh digunakan di lebih 400 lokasi jaringan pasar raya, Whole Food Market di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Mula digunakan pada September 2020, Amazon One memperketatkan ciri keselamatan agar data peribadi tidak dicuri atau kata laluan ditiru.

Ciri tapak tangan Amazon One sukar untuk dipalsukan kerana sistem berkenaan tidak hanya melihat gambar tapak tangan, malah corak urat di bawah kulit.

Gabungan dua perkara itu (tapak tangan dan urat) akan digunakan untuk mencipta satu kod unik yang dipanggil tandatangan tapak tangan.

Selain pasar raya, Amazon One boleh digunakan untuk pembayaran di stadium, lapangan terbang dan kedai runcit.

Sementara itu, salah seorang pengguna Amazon One, Jamie Benson teruja dapat menggunakan teknologi tersebut dan berharap ia dapat diperluaskan ke beberapa negara lain.

“Lupakan kad bank anda atau dompet digital di telefon kerana sekarang ini segalanya sudah berada di tapak tangan.

“Pembayaran ini sangat mudah untuk dilakukan dan tidak memerlukan masa lama.

“Saya berharap agar kemudahan ini dapat diterima pakai oleh sistem perbankan di negara lain.

“Ini membolehkan pelancong membuat pembayaran dengan mudah tanpa memerlukan pertukaran wang asing,” ujarnya.

Amazon One juga telah menjalin kerjasama dengan American Express, Discover, MasterCard, Visa dan bank-bank utama di seluruh AS.

Walaupun teknologi tersebut menawarkan kemudahan dan keselamatan yang tinggi, namun terdapat kebimbangan mengenai privasi data pengguna.

Hal kerana ia melibatkan pengumpulan dan penyimpanan data biometrik.

Pakar keselamatan siber menekankan peraturan yang ketat bagi melindungi maklumat peribadi pengguna agar tidak disalahgunakan oleh penjenayah.

Ujar pakar keselamatan siber, Bruce Schneier, penggunaan biometrik dalam sistem pengesahan termasuk pembayaran menggunakan tapak tangan tidak seharusnya digunakan sebagai satu-satunya kaedah pengesahan tanpa lapisan keselamatan tambahan.

Dalam blognya, Schneier menyatakan bahawa keselamatan adalah proses dan bukan produk.

Dia juga menegaskan, sistem pengesahan yang bergantung sepenuhnya kepada biometrik tanpa pengesahan tambahan boleh terdedah kepada risiko keselamatan.

“Teknologi biometrik menawarkan kemudahan dan ia harus digunakan bersama dengan langkah keselamatan lain untuk memastikan perlindungan menyeluruh.

“Tiada sistem pengesahan tunggal yang boleh dianggap selamat tanpa perlindungan tambahan.

“Sistem pengimbasan boleh berlaku masalah sekiranya terdapat kecederaan atau luka kecil yang mampu menjejaskan cetakan corak urat tangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN