JAKARTA – Penduduk di selatan Yogyakarta digemparkan dengan kemunculan fenomena dua belalai air yang muncul di tengah laut, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) di Pantai Gesing dekat Gunungkidul.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @merapi_undercover menunjukkan dua pusaran air itu berlaku serentak.
Jurucakap Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, Miming Saepudin berkata, belalai air hampir serupa dengan puting beliung tetapi berlaku di perairan.
“Fenomena cuaca ini sering muncul disebabkan peralihan musim seperti dari musim hujan ke musim kemarau,” katanya.
Rakaman itu mencatatkan lebih 21,700 tontonan di laman sosial.
“Semoga Tuhan melindungi nelayan-nelayan yang sibuk mencari nafkah,” kata seorang netizen.
“‘Godzilla’ nak turun,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI