GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengesahkan telah membeli 15 unit model Toyota Camry (AT) (CBU) baharu untuk kegunaan pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kenderaan tersebut dibeli pada harga RM3.31 juta dan kereta itu adalah untuk menggantikan kereta rasmi yang dibeli pada tahun 2020.
”Kenderaan baharu ini adalah untuk kegunaan rasmi seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan tiga ahli ex-officio (Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri).
”Dua lagi kenderaan adalah masing-masing untuk kegunaan rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,” katanya di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Terdahulu, ketika sesi perbahasan Mohd Yusni Mat Piah (Pas – Penaga) meminta penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung pembelian kenderaan baharu itu walaupun terdapat laporan mengenai masalah kewangan negeri.
Menurut Kon Yeow, purata harga bagi setiap kenderaan adalah sekitar RM220,783 dan kenderaan ini telah dihantar kira-kira dua bulan lalu. – KOSMO! ONLINE