ALOR SETAR – Langkawi dijangka mengalami taburan hujan yang banyak terutama sebelah petang sehingga awal malam sepanjang minggu ini.
Menurut Pengarah Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, cuaca akibat fasa peralihan monsun yang berlangsung sehingga hujung Mei ini juga akan mengakibatkan fenomena sama di beberapa daerah lain terutama kawasan pedalaman.
Katanya, keadaan itu akan mengakibatkan pembentukan awan ribut petir yang lazim membawa hujan lebat dan angin kencang pada waktu petang dan awal malam.
“Cuaca tidak menentu sepanjang minggu ini, namun dijangka taburan hujan tinggi selepas pukul 2 petang hingga awal malam hampir seluruh daerah termasuk Langkawi.
“Cuaca mendung dengan kemungkinan ribut petir dijangka berterusan sehingga Khamis ini. Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika berada di kawasan pesisir dan laut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, Jabatan Meteorologi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk kepada laporan cuaca terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga semasa cuaca buruk.
Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’25) akan berlangsung bermula esok hingga Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE