KUALA LUMPUR – Jabatan Audit Negara (JAN) kini sedang meneroka penggunaan teknologi baharu dalam usaha mengesan penipuan sejajar dengan trend penipuan yang semakin kompleks dan berkembang.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, pendekatan ini telah pun menjadi sebahagian daripada proses kerja sedia ada jabatan itu.
“Jabatan Audit Negara kini sedang melalui proses pendigitalan, di mana hampir semua audit kini dilaksanakan secara digital, terutamanya audit yang melibatkan syarikat, yang telah pun bermula.
“Kita juga sedang meneroka bagaimana teknologi baharu boleh dimanfaatkan untuk mengesan penipuan, khususnya isu-isu penipuan yang kompleks dan sedang muncul. Ini telah menjadi sebahagian daripada proses kerja kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh , Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Suraya berkata, penubuhan kumpulan ini ditubuhkan bertujuan membangun kaedah kawalan terhadap risiko penipuan perakaunan yang lebih berkesan.
Katanya, ia juga mampu membina kapasiti agensi dalam mengenal pasti petunjuk awal penipuan seterusnya dalam jangka masa yang lebih jauh dapat memperkukuhkan pematuhan kepada piawaian perakaunan dan undang-undang yang berkaitan.
“Dalam semangat kolaborasi ini, saya menyeru agar kita semua bukansahaja menandatangani deklarasi komitmen, tetapi benar-benar melaksanakannya dalam bentuktindakan, dasar dan amalan terbaik.
“Ini adalah amanah kita kepada rakyat dan tanggungjawab kita kepada negara,” ujarnya.
KKFP dipengerusikan SPRM dengan kerjasama Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Institut Akauntan Malaysia. – KOSMO! ONLINE