fbpx

K2

Bunga terus ‘mekar’ dalam dunia pengacaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUNGA sering dipilih menjadi pengacara majlis di UniSZA.

BERBEKALKAN semangat dan dedikasi tinggi, Bidasari Murni Zainudin, 22, terus mengukir nama dalam bidang pengacaraan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Berkongsi kepada K-Kampus, gadis yang mesra disapa Bunga itu berkata, minatnya dalam bidang pengacaraan mula berputik sejak zaman persekolahan tatkala diberikan kepercayaan menjadi pengacara majlis di peringkat sekolah.

“Walaupun ketika itu masih kurang yakin, namun pengalaman berkenaan telah membuka mata saya terhadap keyakinan, persiapan dan kecekapan dalam berkomunikasi,” katanya.

Jelasnya, sepanjang penglibatan di UniSZA, dia telah diberi peluang untuk mengendalikan beberapa majlis penting termasuk Majlis Konvokesyen Ke-15, Majlis Apresiasi Petugas Majlis Idul Ilmi dan Majlis Penutup Kursus Kepegawaian Olahraga Kebangsaan.

Bunga juga amat dikenali dengan gaya penyampaian yang ceria, bertenaga dan sentiasa menceriakan suasana.

Salah satu pengalaman paling mencabar, namun bermakna baginya adalah ketika mengendalikan Majlis Apresiasi Petugas Majlis Idul Ilmi yang mengalami gangguan sistem audio. 

BUNGA juga bijak dalam akademik dan pernah memperoleh anugerah dekan.

“Saya terpaksa menggunakan suara sendiri tanpa mikrofon untuk seketika dan berinteraksi secara spontan dengan audiens bagi mengekalkan suasana positif. 

“Ia benar-benar menguji ketenangan dan gaya spontan saya selaku seorang pengacara,” katanya.

Ditanya figura pengacaraan yang menjadi sumber inspirasinya, Bunga memberitahu, mereka ialah Emcee Amerdeen, Syairul Islam Basmullah, Datuk Aznil Nawawi dan Hawa Rizwana Rizwan.

Akuinya, mereka bukan hanya hebat di atas pentas, malah menjadi contoh dalam menyampaikan mesej dengan penuh karisma dan ikhlas.

Berkongsi lanjut, Bunga memaklumkan, setiap kali menerima tugasan, dia akan membuat persediaan rapi seperti memahami jenis majlis, audiens serta gaya penyampaian sesuai. 

Katanya, latihan di hadapan cermin dan menyemak sistem teknikal lebih awal turut menjadi rutin wajibnya sebelum memulakan tugas.

Akui anak kelahiran Johor Bahru itu, menerusi bidang pengacaraan, dia dapat mempelajari banyak kemahiran penting seperti komunikasi lisan yang berkesan, pengurusan masa serta protokol majlis rasmi. 

BUNGA (depan, empat dari kiri) bersama rakan-rakannya dalam PPBU.

“Pengacaraan bukan sahaja membantu saya di atas pentas, malah memberi kesan positif dalam kehidupan seharian dan pengajian,” katanya.

Menariknya, pelajar tahun kedua jurusan Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam di UniSZA itu bukan sahaja aktif dalam pengacaraan, malah turut menyerlah sebagai atlet olahraga universiti dan Presiden Perwakilan Pelajar Beruniform (PPBU) sesi 2025.

Ditanya mengenai perancangan selepas tamat pengajian, anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, dia berhasrat meneruskan kerjaya secara profesional dalam bidang pengacaraan. 

“Saya ingin menjadikan minat ini sebagai satu kerjaya yang berimpak dan memberi nilai kepada masyarakat.

“Memberanikan diri untuk mula, dan jangan sesekali takut gagal. Keyakinan akan datang melalui latihan dan pengalaman. 

“Jadilah pengacara yang bukan sekadar menyampaikan tetapi mampu menyentuh hati audiens dengan keikhlasan,” tuturnya.

Dengan semangat tinggi serta kemahiran yang diasah sejak sekian lama, Bunga ingin membuktikan bahawa dia bukan sekadar ‘mekar’ di kampus UniSZA, malah bersedia menyinar dalam pentas pengacaraan di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI