KUALA LUMPUR – Acara kayuhan basikal Tun Razak Exchange (TRX) Cyclethon yang julung-julung kali diadakan hari ini bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjadi medium untuk memupuk nilai sosial serta gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd., Datuk Seri Azmar Talib berkata, penganjuran acara itu merupakan sebahagian daripada komitmen TRX dalam mengaktifkan ruang awam dan menjadikannya tempat yang inklusif serta bermanfaat untuk komuniti.
“Ia terbuka kepada semua dan kami mahu menghidupkan suasana kawasan ini agar menjadi tempat yang sihat dan menyeronokkan untuk masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran acara tersebut.
Menurutnya, TRX turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk di Kuala Lumpur.
Bagi menjayakan program ini, TRX bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Kelab Berbasikal Bandaraya.
Seramai 500 peserta menyertai edisi sulung program itu yang dirancang untuk dijadikan acara tahunan.
Seorang peserta, Afeef Armani Arif, 17, berkata dia sering menyertai program berbasikal seperti itu kerana jurulatihnya merupakan individu yang terlibat dalam penganjuran acara tersebut.
“Saya selalu sertai program macam ni sebab jurulatih kami yang uruskan. Selain untuk kesihatan, saya datang juga sebab nak eratkan hubungan dengan kawan-kawan dan pasukan,” katanya.
Dua lagi peserta, Mohamad Alias Zakaria, 46, dan Habibul Rahman, 50, berkata penyertaan mereka adalah atas minat dan peluang untuk beriadah bersama rakan-rakan.
“Sesekali dapat sertai acara macam ini memang seronok. Kebetulan kami ada kursus esok, jadi datang awal dan sertai program ini dulu,” kata Mohamad Alias yang berasal dari Manjung, Perak. – KOSMO! ONLINE