TOKYO – Sebuah restoran di Osaka, Jepun menjadi perhatian ramai kerana menampal notis yang menyatakan keengganannya menerima pelanggan dari China, lapor laman berita VNExpress.
Menurut laman berita South China Morning Post, papan tanda itu ditulis dalam bahasa Cina yang menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana ramai pelanggan dari negara tersebut biadab.
Gambar notis itu kemudian tersebar di media sosial dan mencetuskan perdebatan hangat dengan ada sebilangan netizen yang menyokong serta mengkritik tindakan restoran tersebut.
“Sebuah restoran yang menyiarkan nota sedemikian mempunyai adab lebih buruk daripada pelanggan yang biadab,” kata seorang netizen.
Jepun menerima kedatangan 36.9 juta pelawat antarabangsa pada 2024, peningkatan 47.1 peratus daripada tahun sebelumnya.
Jumlah ketibaan tertinggi adalah pelancong dari Korea Selatan dan diikuti oleh pelawat China. – AGENSI